Cari Blog Ini

Rabu, 28 September 2011

Ifa Raziah bersaing dengan Shahir AF8


IFA Raziah dan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir adalah dua penyanyi daripada dua era yang berbeza dalam persada seni suara tanah air.

Meskipun Ifa lebih ke arah irama dangdut dan mula mencipta nama pada awal tahun 1990-an, sementara Shahir pula penyanyi pop yang dilahirkan selepas era millenium tetapi pertembungan mereka dalam bidang nyanyian tidak dirancang.

Menurut Ifa, perkara itu dapat dilihat apabila dia dan Shahir secara tidak sengaja muncul dengan judul album single yang sama berjudul Luar Biasa yang kini bersaing menerusi stesen-stesen radio tempatan.

Sayangnya, jelas penyanyi yang sering mencetuskan kontroversi itu, dia berasa seperti dianaktirikan apabila lagu berjudul Luar Biasa nyanyi juara program realiti TV itu yang paling mendapat perhatian stesen-stesen radio swasta berbanding lagu nyanyiannya.

"Sebenarnya, pada April lalu saya juga menghasilkan sebuah album single bertajuk Luar Biasa yang saya terbitkan sendiri. Lagu daripada album single itu diedarkan pada masa yang sama dengan lagu Luar Biasa nyanyian Shahir. Tetapi lagu dia yang paling banyak disiarkan di radio.

"Saya bukan sahaja berasa cemburu tetapi juga bengang dengan sesetengah stesen radio swasta yang seolah-olah menganaktirikan saya dalam hal ini. Stesen-stesen radio sudah semestinya akan menyiarkan lagu Luar Biasa Shahir berbanding lagu Luar Biasa nyanyian saya," katanya kepada Hits.

Dia meluahkan rasa kecewanya itu sewaktu ditemui selepas pelancaran album single itu yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Daud Thair di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jelas Ifa, dia tidak menduga judul lagu Luar Biasa yang dinyanyikannya itu kebetulan sama judulnya dengan lagu Luar Biasa dendangan Shahir. Ia secara tidak langsung bukan sahaja mencetuskan persaingan tetapi juga boleh menyebabkan para peminat keliru.

Bagaimanapun, dia yang telah 16 tahun bergelar penyanyi itu menganggap biarpun judul Luar Biasa mencetuskan persaingan antaranya dan Shahir tetapi daripada segi konsep lagu, ia berbeza di antara satu sama lain di mana terpulang kepada para peminat untuk membuat pilihan.

"Lagu Luar Biasa nyanyian saya berentak dangdut sedangkan lagu Luar Biasa nyanyian Shahir pula lebih kepada irama pop. Walaupun lagu saya itu tidak banyak disiarkan di radio tetapi saya tidak putus asa kerana saya cuba mempromosikannya melalui Internet dan Facebook.

"Selain itu, saya juga sedang merancang untuk merakamkan semula lagu Luar Biasa dalam bahasa Mandarin. Saya mahu mempromosikan lagu itu di kalangan peminat dan stesen-stesen radio berbahasa Cina di negara ini pada masa depan," katanya lagi.

Ifa yang merupakan Pengarah Firaxis International Sdn. Bhd. yang menghasilkan produk-produk kecantikan Zenzoria menambah, dia berharap pendekatannya itu dapat menarik lebih banyak sokongan para peminat terhadap lagu Luar Biasa.

Ini kerana, selama menjadi jurucakap produk Zenzoria dia banyak mendampingi para pengguna produk kecantikan itu yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina di merata-rata tempat.

"Saya telah menjadi duta produk Zenzoria sejak empat tahun lalu sebelum dilantik sebagai salah seorang rakan niaga. Sepanjang tempoh itu ramai peminat terutamanya pengguna kaum Cina yang telah mengenali saya.

"Sebab itu, saya berharap selain para peminat Melayu, saya juga mahu menerokai pasaran lagu-lagu Cina pada masa depan. Mungkin ada hikmahnya apabila cabaran seperti ini berlaku ke atas saya," jelasnya.




KONGSI ARTIKEL INI DENGAN RAKAN ANDA DI FACEBOOK DAN TWEETER



Share


TERIMA KASIH KERANA KONGSI ARTIKEL INI DENGAN RAKAN ANDA.. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...