Cari Blog Ini

Ahad, 20 November 2011

Greyson bukan sekadar 'jambu'

USIANYA baru 14 tahun dan kalau di Malaysia, dia dilihat tidak lebih dari sekadar remaja belasan tahun yang menggalas tanggungjawab sebagai pelajar tingkatan dua di sekolah menengah.

Namun, ada sesuatu yang istimewa pada diri remaja bernama Greyson Chance ini yang membezakan antara dia dan remaja biasa.

Sensasi Chance mungkin boleh disama ertikan dengan tempias glamor yang diperolehi oleh penyanyi remaja kegilaan remaja, Justin Bieber.

Apalagi, kedua-duanya merupakan produk yang lahir daripada laman sosial You Tube.

Tentu sekali kedua-duanya memiliki personaliti dan gaya nyanyian yang berbeza.

Cuma, kalau hendak dibandingkan dengan Bieber, Chance dianggap memiliki suara yang lebih besar berbanding pelantun lagu Baby itu.

Maaf, ini sekadar pandangan peribadi dan ia tidak bermaksud untuk merendahkan kehebatan Bieber yang sekarang sudah selesa berada di puncak.

Pintu dunia glamor buat anak kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) ini mula terbuka melalui sebuah video yang dimuat naik di You Tube sekitar April 2010.

Video itu memaparkan aksi Chance bermain piano sambil menyampaikan lagu Paparazzi nyanyian asal Lady Gaga, dalam satu persembahan di sekolahnya.

Populariti Chance kemudiannya mendadak naik sejurus selepas video itu dimuat naik dan telah ditonton jutaan penonton dan pengguna You Tube.

Chance juga telah menarik minat Ellen Degeneres sehinggakan hos terkenal AS itu menjemput Chance untuk mengunjungi studionya sebagai tetamu istimewa dalam salah satu episod program The Ellen Degeneres Show.

Sejak itu, dunia glamor dan Chance bagai tidak dapat dipisahkan.

Seharusnya, Chance berterima kasih kepada Degeneres kerana sahabatnya itu merupakan antara individu pertama yang membantu Chance mara dalam bidang seni sehingga dia dikenali ke tahap ini.

Populariti

Populariti juga telah membawa Chance untuk menjejaki kaki buat pertama kalinya ke bumi Malaysia pada hujung minggu lalu.

Kunjungannya itu sempena menjayakan showcase Greyson Chance Live in Malaysia dan ia merupakan showcase pertamanya di Asia.



Bumbung KL Live Center menjadi saksi bagaimana Chance bertemu dengan peminat-peminatnya di sini sempena penganjuran showcase yang telah dibawakan oleh Universal Music Malaysia dan Tune Talk Mobile Prepaid itu.

Memulakan persembahan dengan lagu Unfriend You, Chance ternyata tidak sukar meraih perhatian peminat yang penat menunggu lama demi menyaksikan dia berada di depan mata.

Bersama iringan keyboard, Chance meneruskan persembahan dengan lagu yang dianggap cukup bermakna buat dirinya, Take a Look At Me Now sebelum Home Is In Your Eyes dialunkan.

Chance juga menerima kejutan daripada penyokong-penyokongnya di Malaysia melalui satu paparan video di layar besar di pentas.

Ia merupakan gabungan video yang dihasilkan sendiri oleh peminat-peminat fanatiknya sambil berlatar-belakangkan lagu Waiting Outside The Lines.

Tersenyum manis Chance saat video itu dipaparkan sambil berulang kali mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Persembahan kemudiannya diteruskan dengan lagu Paparazzi, Cheyenne dan Hold On Till The Night.

Lagu Waiting Outside The Lines merupakan hadiah terakhir Chance kepada peminatnya.

Dan ia sememangnya dinantikan memandangkan lagu tersebut merupakan lagu hits daripada album pertamanya yang mula dipasarkan sejak Ogos lalu.

Tidak hanya membuat persembahan di hadapan peminat di dewan tersebut, Chance juga telah membuat satu kejutan di belakang tabir yang tidak diketahui.

Kalau hendak tahu, sebelum membuat persembahan, pencinta minuman kopi ini sempat beramah mesra bersama anak-anak yatim yang dibawa khas dari Rumah Hope, Petaling Jaya.

Kehadiran 40 orang anak-anak yatim yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu telah dibawa oleh pihak penganjur yang turut menaja mereka untuk menyaksikan persembahan secara langsung Chance di KL Live Center.

Umpama memberi satu harapan buat mereka, Chance tanpa paksaan memberikan layanan yang baik kepada setiap anak-anak tersebut yang kelihatan gembira bertemu dengan penyanyi antarabangsa itu.

Malah, Chance turut menghadiahkan gula-gula lolipop sebagai simbolik hubungan persahabatan yang erat.

Ternyata, Chance tidak pernah lokek untuk memberikan yang terbaik kepada peminat walau menyedari dirinya masih baru dalam industri seni.

Dengan karakternya yang suka bersederhana, merendah diri selain memiliki aura tersendiri sebagai penyanyi, Chance jelas tidak hanya berdiri sebagai seorang artis yang hanya menjual rupa semata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...