Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

Atilia lebar sayap ke Indonesia

Penyanyi irama jazz, Atilia begitu teruja kerana bakal melancarkan albumnya, Indah ke Indonesia. Tidak menyangka berpeluang memasuki pasaran muzik Indonesia, Atilia merasakan inilah pertaruhan besar dalam kerjayanya sebagai penyanyi untuk meluaskan empayar nyanyiannya.

"Saya memang rasa sangat teruja, buat masa ini segalanya masih dalam perancangan dan jika tidak ada aral melintang, kami akan terbang ke Indonesia untuk melancarkan album tersebut dalam bulan ini juga.

"Saya berharap ia akan diterima baik peminat di sana. Muzik jazz sudah tidak asing di sana, namun untuk meletakkan diri kita sebaris artis sedia ada, pastinya bukan kerja mudah.

"Saya berani mengambil risiko kerana inilah perjuangan sebenar sebagai penyanyi," katanya.

Dengan penuh keyakinan, Atilia berharap dirinya akan diterima sebagaimana rakan artis dari seberang mudah diterima di sini.

"Saya membawa Indah ke Indonesia kerana album ini benar-benar kena dengan jiwa saya. Kerana itu, saya tidak kisah untuk dibuat semula untuk mencantikkan lagi album ini.

"Muzik juga serumpun, kerana itu saya mahu album ini mendapat tempat di sana. Muzik tiada sempadan, lagi pula saya ada cara tersendiri dalam menyampaikan lagu-lagu, jadi tidak salah jika mereka menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka," katanya.

Biarpun sibuk dengan pasaran album ke Indonesia, Atilia juga sibuk mencari material untuk album ketiganya. Album yang dijangka dapat dipasarkan tahun hadapan ini bakal menyaksikan buah tangan Atilia sendiri khas buat peminatnya.

“Saya tidak mahu peminat menunggu-nunggu album saya. Kini, saya sibuk mencari idea menghasilkan lagu-lagu terbaik. Album ini adalah sepenuhnya daripada diri saya. Tidak hanya pemilihan lagu, penciptaan malah penulisan lirik juga saya yang tulis," katanya yang berharap akan dapat menerbitkan album itu pada tahun depan.

Selain album, Atilia sibuk dengan proses penyuntingan rancangan ‘4 Bintang’ untuk siaran Astro yang mana melibatkan artis seperti Jaclyn Victor, Hattan, Ramli sarip dan Datuk Khatijah Ibrahim diterbitkan oleh syarikatnya, Mujik production.


Belum sedia akhiri zaman solo

Pengalaman kecundang dalam melayari bahtera rumah tangga membuatkan penyanyi bertubuh genit, Atilia masih belum bersedia untuk melayarinya sekali lagi.

Meskipun mengakui sudah ada teman rapat, Atilia berkata, masih belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Biarpun terdapat desas-desus yang mengatakan Atilia bakal mengikut jejak langkah kawan baiknya Yasmin Hani untuk berkahwin tahun hadapan, Atilia pantas menolaknya.

"Buat masa ini belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga dan kami belum berbincang mengenai hal itu (perkahwinan). Soal perkahwinan memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

"Saya pernah berkahwin selama 10 tahun, bila saya kembali solo, saya rasa seronok kerana dapat melakukan banyak perkara sendiri. Kata orang sedang menikmati hidup solo. Apabila saya sudah bersedia dan mempunyai tarikh perkahwinan, pasti saya berkongsi perkara itu dengan peminat dan rakan media," katanya yang ditemui semasa majlis rumah terbuka Media Hiburan, di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf.

Sebelum ini, Atilia lebih sinonim dengan penyanyi irama Jazz. Namun, setelah bekerjasama dengan Monoloque menerusi lagu Kekanda Adinda, nama Atilia mula mendapat perhatian umum.

Justeru, Atilia berkata, dia dan Monoloque sudah merangka projek terbaru iaitu merakamkan semula lagu Doa Buat Kekasih yang pernah dinyanyikan Ramli Sarip dan Datuk Khatijah Ibrahim.

"Lagu tersebut diberi nafas baru dan dinyanyikan mengikut gaya kami sendiri. Saya berharap lagu ini juga akan menerima impak seperti Kekanda Adinda," katanya.


Tragedi lucu

Baru-baru ini, peminat dikejutkan dengan gambar penyanyi tersebut bergambar dengan kereta yang sudah terbabas ke dalam longkang.

Bercerita mengenai perkara tersebut, Atilia menganggap ia tragedi lucu yang terjadi kepadanya minggu lalu.

"Kereta itu milik mak cik saya, ketika itu saya mahu keluar dan membawa keretanya. Tetapi keadaan menjadi lucu dan panik apabila saya tidak menjumpai brek kaki kereta tersebut menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang.

"Mujur tiada apa-apa yang berlaku, dalam masa lima minit kereta itu sudah dapat dinaikkan semula. Selepas itu mereka asyik ketawakan saya kerana tidak menjumpai brek," katanya yang menganggap gambar itu adalah mesej kepada peminat supaya berhati-hati semasa memandu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...