Cari Blog Ini

Selasa, 1 November 2011

Saiful Apek Didakwa Ambil Dadah

Pelakon komedi, Saiful Apek (gambar) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan mengambil dadah jenis ganja, tahun lalu.

Pelakon tersebut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 42, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, di sini.

Bagi kesalahan itu, pelakon yang pernah membintangi filem Senario The Movie 4 dan Sifu & Tongga itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang mempunyai tiga orang anak itu boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan terhadap pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berira Harian 2003 dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh dan Fadilah Shah Abdul Latiff.

Turut didakwa di mahkamah sama ialah tiga rakan Apek, termasuk Pengurus Gitu-Gitu Production Sdn Bhd, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, dan dua pekerja sambilan kru produksi itu, Shaiful Baharom, 24, serta Noremy Mohamad, 28.

Semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama.

Ahmad Ishrakh Saad menawarkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh, bagaimana mahkamah membenarkan jaminan pada jumlah RM2,500 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 23 Disember depan.

Media sebelum ini melaporkan Saiful Apek ditahan bersama empat rakan lain atas kesalahan dadah di sebuah apartmen pada 12 Jun tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...