Cari Blog Ini

Rabu, 28 September 2011

Pemuda Pas puji Ahmad Idham

Pertemuan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Nasruddin Hassan bersama penerbit dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, baru-baru ini, menamatkan kontroversi filem Hantu Bonceng yang dikatakan mempersendakan agama.
 

Dalam pertemuan penuh harmoni itu, Nasruddin meluahkan rasa puas hati dan turut memuji sikap profesional Idham.

"Saya suka dengan sikap Idham yang sedia menerima teguran. Dia seorang pengarah profesional dan berfikiran positif.

"Idham juga berjanji untuk tampil dengan elemen positif untuk karya-karya akan datang. Kita tidak boleh menuntut dari pihak lain untuk menurut semua kehendak kita, ia boleh dilakukan secara berperingkat.

 
"Saya juga turut berharap agar isu ini tidak disensasikan lagi kerana ianya telah pun selesai," katanya yang turut berminat untuk menerbitkan filem mereka sendiri pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Nasruddin melahirkan rasa kesal terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dianggap cuai menjalankan tanggungjawab meneliti dan menapis karya tempatan terutamanya yang membabitkan isu keagamaan.

Walaupun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) berperanan dalam memastikan batasan dalam sesebuah karya, Nasruddin berkata, Jakim adalah satu badan yang turut memainkan peranan penting memantau karya tersebut.

"Tidak perlu menambah atau menubuhkan badan khas kerana badan yang sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut. Mereka hanya perlu berusaha untuk menaik taraf dengan menjaga etika-etika dan norma yang positif.

"Saya berharap agar penggiat seni lain turut mengambil isu ini sebagai iktibar untuk karya yang seterusnya kerana dalam filem Melayu, kita tidak mahu ia diistilahkan dengan isu yang terlalu berat sehingga melahirkan kesukaran.

"Dalam filem Melayu, perlu ada elemen didikan, hiburan dan mengekalkan adat dan budaya sedia ada.

Kerajaan juga perlu turut membantu penggiat seni untuk menghasilkan karya yang bertitik tolak konsep keagamaan," katanya menganggap filem adalah medium berkesan untuk membina corak hidup dan budaya masyarakat.

Sementara itu, Idham turut berpuas hati dengan perbincangan itu. Bagaimanapun pengarah prolifik itu enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu komen apa-apa kerana perkara ini telah selesai. Saya tak nak buat orang ramai salah faham dan menjadikan isu ini berlarutan.

"Saya menerima teguran dan pandangan dan saya berbesar hati apabila DPPM berminat untuk mengetahui, menyelami dan mendalami konsep hiburan tempatan. Ia adalah satu perkembangan yang baik," katanya.



KONGSI ARTIKEL INI DENGAN RAKAN ANDA DI FACEBOOK DAN TWEETER



Share


TERIMA KASIH KERANA KONGSI ARTIKEL INI DENGAN RAKAN ANDA.. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...