Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

Maharaja Lawak Mega Gabung Tiga Negara



Gabungan pelawak dan pelakon komedi berportfolio tinggi daripada tiga negara bakal menjanjikan kelainan pada program realiti terbaru, Maharaja Lawak Mega yang bakal memulakan siaran pada 28 Oktober depan.

Menurut Pengurus Saluran Pakej Mustika, Nizam Sani, pertandingan itu bakal menggabungkan pelawak daripada Malaysia, Singapura dan Indonesia bagi memartabatkan bidang komedi ke peringkat lebih tertinggi.

Nizam berkata, program yang bakal disertai oleh 17 peserta itu masih menggunakan konsep dan format yang hampir sama seperti dua francais program itu iaitu Raja Lawak dan Maharaja Lawak.

"Medan Maharaja Lawak Megaini adalah sebuah pertandingan yang mengumpulkan pelawak-pelawak berpengalaman dalam satu program bukan sahaja untuk menobatkan siapa paling hebat tetapi juga untuk memartabatkan bidang komedi ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang media pelancaran program Maharaja Lawak Mega di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Nizam berkata, program itu adalah medium untuk mengangkat semua pelawak dan pelakon komedi berpengalaman yang tidak pernah melakukan stand-up comedy.

Katanya, program yang bakal disiarkan menerusi Astro Warna (saluran 132) itu bukan sahaja dapat mempromosikan industri komedi tempatan ke luar negara malah bakal memberikan ruang kepada peserta untuk mengembangkan kerjaya di peringkat lebih tinggi.

Ini katanya, program itu bakal menemui penonton secara langsung bukan sahaja di Malaysia tetapi Singapura dan siaran tertunda di Indonesia.

"Ini adalah medan terbaik kepada peserta dari negara kita untuk mempromosikan industri komedi kepada peminat luar dan sebaliknya dengan penglibatan peserta dari Singapura dan Indonesia," ujarnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai pemilihan peserta, Nizam berkata pihak Astro mencari para peserta yang berminat dan memberi kelonggaran kepada mereka untuk menubuhkan kumpulan mengikut keselesaan masing-masing.

Peserta-peserta Maharaja Lawak Mega adalah terdiri daripada kumpulan Pimai (Sathiya, Imuda dan Mat Over), Hiro (Hamdan, Ilya dan Ropie Cecupak), Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), Anje (Achong Sweet Child dan Joey Daud) dan Osbon (Mr Os dan Abon).

Turut menyertainya kumpulan BP-Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri), Rap (Aziz Kota, Pak Lah Cecupak, dan Rama), Comel (Radhi Khalid dan Bell Ngasri) dan 3G (Yassin, Didie Alias dan Enot) manakala Adlin Aman Ramli dan Jalil Hamid masing-masing tampil sebagai peserta solo.

Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah mengambil langkah berani untuk melakukan kolaborasi melalui kumpulan Syok yang membabitkan penyertaan Suhaimi (Singapura) dan Arif Sudin (Indonesia).

Sementara kumpulan Gebu (Hani dan Azian) mewakili Singapura manakala Lanun (Jegan, Elyas dan Salman-Al Farisi), Bawel (Dodon Jambul, Amin Bawel dan Dadang Ragas), Saehu (Eko, Bocil, Vicha) dan kumpulan Caer (Adetao, Mister Ibo dan Lugiana) mewakili Indonesia.

Pada perkembangan lain, Nizam memberitahu, program itu akan mengekalkan A.C. Mizal sebagai pengacara dan sistem penghakiman akan dilakukan oleh tiga juri profesional yang mewakili 70 peratus markah dan selebihnya kepada undian penonton.

Bagaimanapun, beliau memberitahu undian hanya untuk penonton yang menggunakan talian tempatan dan juri tetap hanya akan diumumkan pada minggu pertama program bermula.

"Selain juri tetap kami turut menjemput juri undangan daripada dalam dan luar negara bagi mengadili para peserta dalam program itu nanti," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...