Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

Rabbani perkenal nasyid dangdut


WALAUPUN hampir dua tahun senyap dari dunia hiburan tempatan, Rabbani masih aktif menyertai beberapa aktiviti hiburan di samping meneruskan kelangsungan mereka dalam bidang rakaman.

Bagi memastikan Rabbani terus muncul dengan album baruselain daripada aktiviti lain yang berkaitan dengan seni, Rabbani kini mempunyai studio rakaman sendiri.

"Alhamdulillah, sebuah studio rakaman milik kami sudah pun siap sepenuhnya di mana ini banyak memberi semangat kepada kami untuk menyiapkan rakaman album baru yang telah lama dirancang.

"Album baru ini akan diberi nafas baru dalam usaha Rabbani untuk terus memperjuangkan lagu-lagu nasyid di negara ini," katanya.

Bagi mewujudkan sedikit kelainan dalam album baru itu nanti, Azadan Abd. Aziz memberitahu, mereka akan tampil dengan sebuah lagu duet bersama bekas penyanyi dangdut Iwan.

"Tujuan duet dengan Iwan adalah untuk memberi pendengar satu kelainan dalam lagu-lagu Rabbani.

"Rasanya peminat dapat menerima kolaborasi bersama Iwan kerana dia sekarang memperjuangkan dakwah melalui muzik nasyid," kata Azadan selaku ketua mengenai album terbaru Rabbani yang dijangka menemui peminat pada tahun hadapan.

Walaupun kolaborasi ini masih lagi di peringkat perbincangan, namun Azadan memberitahu, Rabbani amat bersyukur kerana Iwan menerima 'peminangan' mereka untuk berduet dalam sebuah lagu.

"Idea untuk menjemput Iwan berduet dalam satu lagu untuk album terbaru ini tercetus apabila kami melihat perubahan yang berlaku ke atas dirinya.

"Melihat kepada keunikan suara Iwan, Rabbani berpendapat ini adalah cara terbaik untuk terus mengembangkan muzik nasyid di negara ini melalui kepelbagaian rentak dan irama," jelas Azadan.

Azadan sebelum itu turut memuji sikap Iwan yang mudah menerima pandangannya untuk kolaborasi pertama kali ini.

"Keserasian yang terjalin di antara Rabbani dan Iwan turut menguatkan lagi kolaborasi terbaru ini.

"Malah untuk menambahkan kelainan, Iwan juga akan diminta menyiapkan lagu duet terbaru kami ini," katanya.

Teruskan impian Ustaz Asri

Pemergian Allahyarham Mohd. Asri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Asri dua tahun lalu dikatakan menjadi punca kumpulan nasyid Rabbani kini kian tenggelam dari dunia hiburan tempatan.

Dakwaan itu pastinya tidak menyenangkan, apatah lagi dikaitkan dengan insan yang telah tiada.

Realitinya, walaupun terpaksa berjuang tanpa kehadiran pemimpin utama kumpulan itu, Rabbani masih wujud dan terus bertahan dalam industri muzik tanah air hari ini yang sememangnya semakin suram.

Menurut Azadan, kehilangan Ustaz Asri secara tiba-tiba banyak menyedarkan mereka erti perjuangan sebenar Rabbani selama ini.

"Walaupun sehingga ke hari ini kami masih merasai kehilangannya, namun kami tetap bersyukur kerana arwah banyak mengajar kami agar sentiasa berkerjasama bagi memastikan kelancaran urusan Rabbani.

"Biarpun arwah tidak lagi bersama kami namun perjuangan yang ditinggalkannya menjadi kekuatan buat kami semua," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Rabbani di Dewan Masjid Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain ingin meneruskan niat membimbing pendengar lagu-lagu nasyid ke jalan yang diredai, Azadan juga percaya segala usaha untuk menjenamakan Rabbani adalah untuk meneruskan impian Ustaz Asri sendiri.

"Sebelum arwah meninggal dunia, dia pernah menzahirkan niatnya untuk mewujudkan sebuah syarikat pelancongan di bawah nama Rabbani.

"Niat itu telah diterjemahkan dengan penubuhan Rabbani Travel & Tours Sdn. Bhd. Walaupun baru, ia tetap membawa kejayaan yang besar buat Rabbani kerana berjaya membuka satu lagi lembaran baru buat kumpulan ini," katanya.

Lebar sayap

Percaya bahawa rezeki itu tidak akan datang bergolek, Rabbani kini sedang giat mempromosikan satu lagi produk baru mereka iaitu Dinar Emas Rabbani.

Azadan memberitahu, ini merupakan cara terbaik mereka untuk mendidik peminat serta umat Islam di negara ini dalam membuat pelaburan pada masa hadapan.

"Penjualan Dinar Emas Rabbani ini merupakan satu lagi cabang perniagaan kumpulan Rabbani selepas agensi perlancongan.

"Walaupun baru saja dilancarkan, Alhamdulillah ramai yang membeli Dinar Emas Rabbani dan ini membuktikan para peminat sentiasa menyokong kami," kata Azadan.

Walaupun Rabbani sudah membina nama dalam bidang perniagaan, menyampaikan dakwah melalui muzik nasyid tetap menjadi tujuan utama kumpulan ini untuk terus berada di dalam industri hiburan.

"Kami melihat dunia hiburan ini sentiasa bergerak laju, bermakna lambat laun Rabbani juga akan hilang suatu hari nanti dan diharap dengan persediaan ini kami akan dapat meneruskan legasi Rabbani," kata Azadan penuh harapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...