Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

Jihan berhenti kerja demi lakonan

BUKAN mudah untuk melakukan dua kerja dalam satu masa. Itu adalah hakikat yang terpaksa dilalui oleh finalis pertandingan Raja Lawak musim ketiga (RL3) dan Maharaja Lawak iaitu Jihan yang pernah bekerja dalam sektor kerajaan dan pada masa sama aktif dalam bidang lakonan.

Namun, demi minatnya dalam bidang lakonan, Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Muse sanggup berhenti kerja. Dia kini berlakon sepenuh masa selepas berhenti kerja sebagai juruteknik di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ogos lalu.

"Sewaktu menyertai RL3 saya masih bekerja di MBSA. Saya telah bekerja di situ sejak empat tahun lalu secara kontrak. Demi masa depan saya dalam bidang lakonan saya rasa lebih baik berhenti kerja supaya saya dapat menumpukan perhatian dalam bidang lakonan.

"Sekarang saya lebih senang untuk berlakon kerana tidak terikat dengan kerja lain. Kalau dulu, aktiviti lakonan saya biasanya pada hujung minggu. Saya telah memikirkan untuk berhenti kerja sejak dua tahun lalu tetapi baru sekarang saya buat keputusan," katanya kepada Hits.

Menurut pelakon kecil molek berusia 28 tahun ini, kini dia berasa puas dan lebih senang untuk menerima tawaran berlakon teater, drama mahupun filem yang semakin banyak diterimanya sejak kebelakangan ini.

Pemegang diploma dalam bidang senibina dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak ini misalnya, baru sahaja tamat menjalani penggambaran drama bersiri bertajuk Cinta Tampal sebanyak 13 episod yang telahpun ditayangkan di Astro Warna (Saluran 132, Astro) pada September lalu.

"Selepas musim RL3 berakhir saya banyak menerima tawaran berlakon drama dan filem. Filem pertama lakonan saya, Adik Manja the Return masih belum ditayangkan.

"Sementara drama Suka Benci Kamu (Astro Ria) dan Moh Ke Cafe Kita (TV3) telah pun ditayangkan baru-baru ini. Selain itu, teater terbaru lakonan saya bertajuk KL Ku telah dipentaskan di Stor Teater, DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) hujung bulan lalu," jelasnya.

Jihan yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, dalam banyak cabang lakonan, dia paling meminati dunia pementasan teater yang begitu dekat dengan jiwanya sebelum menyertai RL3.

Ini kerana katanya, bidang lakonan teater lebih banyak memberi kepuasan kepadanya berdasarkan persembahan lakonan secara langsung di hadapan para penonton berbanding drama atau filem yang dihasilkan secara rakaman.

"Sebelum menyertai RL3 ataupun berlakon drama dan filem, saya terlebih dahulu terbabit dalam pementasan teater. Dunia teater sudah sebati dalam jiwa saya.

"Saya berasa lebih puas berlakon teater kerana ia dipersembahkan secara langsung. Semua itu mencabar kemampuan saya dalam menghayati sesuatu watak itu.

"Semua itu secara tidak langsung menambahkan lagi keyakinan serta membantu saya sewaktu menjadi pengacara majlis. Ini kerana, selain berlakon saya juga banyak mendapat tawaran menjadi pengacara majlis," ujarnya.

Sehubungan itu, dia tidak menafikan banyak terhutang budi dengan pelakon yang juga aktivis teater, Fauziah Nawi yang banyak membimbingnya untuk menjadi seorang pelakon teater yang berketrampilan.

Jelas Jihan, sebelum dikenali ramai menerusi RL3, dia banyak mengikuti persembahan teater terbitan Sanggar Teater Fauziah Nawi atau Stefani milik Fauziah Nawi.

"Bagi saya dunia lakonan teater banyak membantu mempertingkat mutu lakonan saya. Ia secara tidak langsung menambahkan lagi keyakinan saya berdepan dengan orang ramai terutamanya pada persembahan yang diadakan secara langsung di atas pentas," jelasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...