Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

Album Inggeris Siti di pasaran dunia

DATUK Siti Nurhaliza menjadi penyanyi sepenuh masa sejak dia berusia 17 tahun. Sepanjang 15 tahun dia telah menghasilkan lebih daripada 10 album termasuklah album kompilasi.

Sebelum ini, semua album yang dihasilkan penyanyi berusia 32 tahun itu hanya berbahasa Melayu dan cuma diedarkan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei sahaja.

Bagaimanapun, Siti mula mengorak langkah lebih luas apabila tampil dengan album Inggeris pertamanya berjudul All Your Love pada 24 September lalu untuk pasaran di seluruh dunia.

Menurut penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini, album terbitan What's Up Entertainment Sdn. Bhd., itu bukan setakat dijual secara pasaran terbuka.

Sebaliknya, ia juga dijual secara talian dan muat turun di Internet yang kini menjadi trend dalam mana-mana juga industri muzik di seluruh dunia termasuklah di negara ini.

"Album ke-14 Siti itu juga boleh dibeli dengan cara muat turun lagu-lagu daripada album tersebut di Internet selain bentuk album secara fizikal iaitu CD (cakera padat). Ini sesuatu yang baru bagi Siti.

"Siti berharap cara ini akan memperluaskan lagi jualan album itu. Kini album itu boleh dipasarkan di seluruh dunia. Semua orang walau berada di mana pun boleh mendengar album itu," katanya.

Penyanyi nombor satu tanah air ini menjelaskan, biarpun pertama kali menghasilkan album Inggeris tetapi dia berpuas hati dengan sambutan awal yang telah diberikan oleh para peminat setianya.

Contohnya kata Siti, tidak sampai empat hari All Your Love berada di pasaran, album itu telah berjaya dijual sebanyak 3,000 unit di mana ia kini diulang cetak buat kali kedua.

"Siti juga berasa terkejut apabila album Inggeris itu bukan sahaja dibeli oleh peminat Melayu tetapi ramai juga peminat kaum Cina dan India yang membeli serta memberi maklum balas yang baik.

"Ini menunjukkan lagu-lagu Siti mampu pergi lebih jauh melangkaui batas agama dan bangsa. Cuma baru sekarang Siti dapat peluang itu selepas sekian lama menjadi penyanyi," ujarnya.

Jelas Siti, dia berterima kasih kepada anak tirinya, Adib Khalid melalui What's Up Entertainment yang mempunyai inisiatif tinggi sehinggalah mereka berjaya menerbitkan album Inggeris tersebut.

Adib yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah di syarikat rakaman itu, kata Siti berasakan sudah sampai masanya dia menghasilkan album dalam bahasa Inggeris.

"Sebelum ini, Siti tidak dapat peluang merakamkan album Inggeris kerana kurang persediaan daripada banyak segi. Sekarang ini Siti lebih yakin untuk menyanyikan lagu-lagu Inggeris.

"Adib amat meminati bidang muzik hingga dia menubuhkan syarikat rakamannya sendiri. Mulanya tidak percaya tetapi lama kelamaan kesungguhannya itu terserlah," jelasnya.

Album All Your Love mengandungi 10 lagu termasuk sebuah lagu duet dengan penyanyi popular kelahiran Amerika Syarikat, Sean Kingston bertajuk Remember Me.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...