Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

Maya temui cinta baru di Paris


SEPANJANG empat hari di Paris, Maya Karin nampak ceria. Senyuman pada wajah sentiasa terukir, maklumlah dapat berkunjung ke `kota cinta’, Paris.

Kunjungan ke Paris bukanlah pertama dan asing baginya, tapi kunjungan kali ini lebih bermakna bagi Maya.

Maya yang menjadi bintang tamu dalam rancangan Travelog AirAsia bersama Edd Radze sempat ditemubual mengenai kisah lalu yang sedikit sebanyak masih tersimpan di kotak fikirannya.

Kata Maya, semua gosip yang pernah dilempar dan dihadapinya biarlah berlalu. Walaupun tidak boleh dilenyapkan seratus peratus begitu sahaja, Maya percaya apa yang dialaminya adalah salah satu dugaan hidupnya.

“Kalau boleh saya tak mahu bercerita tentang masa lalu saya, kisah perkahwinan yang tinggal kenangan, gosip liar yang mengata saya sebagai perampas kekasih orang, bercinta secara senyap dengan VIP dan sebagainya.

“Perit sungguh semua itu, tidak semudah a,b dan c untuk melupakannya, tapi orang semua tidak tahu perasaan yang saya alami,” kata Maya yang ditemubual sewaktu mengikuti rombongan Travelog AirAsia ke Paris, Perancis, baru-baru ini.

Maka tidak hairanlah jika Maya Karin membawa diri sejak kebelakangan ini ke Amerika Selatan dan menghabiskan percutian ke pulau-pulau peranginan lain.

Menurut Maya, lama jugalah dia makan angin ke luar negara sebelum ke Paris gara-gara nak lari dari segala gosip panas.

“Ternyata ia berhasil, walaupun kenangan pahit masih berbekas di hati.

“Saya tidak mahu lagi menyebut nama-nama individu tertentu, takut nanti semuanya akan berulang lagi.

“Biarkan mereka gembira sekarang kerana dengan redanya gosip-gosip itu setidak-tidaknya diri dan nama mereka tidak disebut-sebut media lagi. Kasihan mereka kerana turut terlibat.”

Biarpun bergelar janda sekarang, dugaan yang dihadapinya semakin mencabar. Dalam waktu terdekat Maya masih belum memikirkan untuk mencari pengganti.

Tidak menafikan dia tetap inginkan sebuah kehidupan sempurna, berumahtangga dan mempunyai anak, tetapi bukan dalam waktu terdekat.

“Saya tidak pernah serik untuk berkahwin lagi. Saya biarkan ia berlalu dan serahkan kepada takdir dan akan terima siapa sahaja jodoh saya.

“Saya pun tak pernah mengatakan serik untuk berkahwin dengan orang bukan Melayu, dan kalau itu jodoh saya, nak buat macam mana,’’ sambungnya lagi.

Mengambil kira hasratnya ingin cahaya mata, berlaku satu insiden di Paris. Kisah berlaku di istana lama, Chateau Versailles, Maya terpandang sepasang suami isteri yang menyorong kereta sorong dan di dalamnya ada seorang bayi berusia setahun.

Dengan tiba-tiba Maya berkata; “Saya harap satu hari nanti saya akan jadi seperti mereka, bahagia dan mempunyai anak.”

Nampaknya Maya menyimpan hasrat untuk berumahtangga buat kali kedua dan berhasrat untuk mempunyai anak. Dalam mencari dan menyimpan hasrat murni itu, kota Paris telah menunaikan hajatnya itu.

Ternyata kunjungannya ke Paris kali ini telah membuahkan hasil. Seperti sedia maklum lelaki Peranchis diidentitikan sebagai lelaki paling romantik.

Ternyata kenyataan itu benar dan di kota Paris itulah seorang lelaki Peranchis telah berjaya menambat hati Maya.

Tanpa diduga, Maya telah bertemu dan berkenalan dengan seorang pemuda Peranchis beragama Islam.

Perkenalan singkat itu mungkin telah membuatkan Maya Karin jatuh cinta atau pun tertambat dengan renungan pertama lelaki Peranchis itu.

Orangnya kacak dan berdarah Algeria. Apakah pemuda itu bakal membuka hati Maya Karin buat kali kedua sekali gus menyemai cinta dan diakhiri dengan ikatan perkahwinan?

Paris yang dikatakan sebagai `kota cinta’ berjaya membuktikan keajaibannya itu kepada Maya Karin.

Bagaimanapun Maya Karin tidak mahu menghuraikan kisah itu dengan lanjut kerana ia masih baru dan terlalu awal untuk diceritakan.

Biarpun hanya Allah yang mengetahuinya, diharapkan hubungan Maya dengan si dia dapat menceriakan hidupnya di masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...