Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

Tahun sibuk Ella



WALAUPUN telah lama berada di dalam industri seni, aura dan bahang Ratu Rock Malaysia masih lagi dirasai dan dinantikan oleh peminatnya seantero dunia. Wanita yang telah memulakan perjalanan karier seninya seawal umur 17 tahun ini masih lagi menjadi yang terhangat di pasaran tidak kiralah di dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.

Berbicara mengenai lakonan, Norzila Aminuddin atau lebih dikenali dengan nama Ella ini pernah beberapa kali tampil di layar perak dan antara filem hebat lakonannya ialah Bayangan Maut, Pemburu Bayang dan yang terakhir Hanya Kawan.

Namun, berbanding pencapaiannya di dalam bidang nyanyian, ianya berbeza bagai langit dan bumi. Walaupun filem-filem lakonannya berjaya mengaut kutipan pecah panggung, Ella yang ditemui pada majlis sidang akhbar yang perkenalkan dirinya sebagai penyanyi pembuka tirai persembahan Whitesnake World Tour 2011 - Live In Malaysia di Hotel Hilton Kuala Lumpur berkata bidang nyanyian masih menjadi keutamaannya.

"Filem terakhir lakonan Ella ialah Hanya Kawan dan itu pada tahun 1997. Bukannya kerana ketiadaan tawaran berlakon untuk Ella, namun kesibukan jadual merupakan salah satu sebab mengapa Ella menolak.

"Ini kerana jika Ella berlakon, Ella perlukan banyak masa untuk terlibat dalam penggambaran. Namun, ada satu tawaran yang Ella masih pertimbangkan. Ella tidak boleh beritahu ia sekarang kerana ia belum lagi dipastikan. Tapi, Ella akui watak tersebut sangat menarik dan kerana itu Ella pertimbangkan," cerita Ella yang mana katanya produksi tersebut memberi peluang pada Ella untuk memilih hero gandingannya kelak.

Akui Ella juga, sebenarnya antara sebab yang sering menghalangnya daripada menerima tawaran berlakon adalah kerana dia tidak mempunyai bakat di dalam bidang tersebut, dan bukannya kerana kejayaan yang dinikmatinya Ella semakin jual mahal atau sombong.

"Ella suka tengok orang berlakon, tapi hakikatnya pada diri Ella sendiri, Ella tidak pandai berlakon. Itu sebabnya Ella tolak banyak tawaran sebelum ini kerana Ella tidak mahu kecewakan mereka," jelas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
 

Mungkin ini masanya yang ditunggu-tunggu oleh peminat fanatik Ratu Rock ini, iaitu penghasilan sebuah album yang akan mengubati kerinduan mereka terhadap wanita berpewatakan manja ini.

Komitmen tetap Ella sentiasa difokuskan kepada penghasilan album baharunya yang belum lagi mempunyai judul. Apa yang dibicara Ella, album baharunya bakal dilancarkan sebelum hujung tahun ini yang mana progres album ini telah pun sempurna lebih daripada 50 peratus.

Album yang bakal lahir ini mengandungi lapan buah lagu dan single pertama daripada album tersebut bakal dikeluarkan dalam masa sebulan dua lagi.

"Album Ella belum lagi diberi judul kerana ia belum siap sepenuhnya. Bagaimanapun, album tersebut akan Ella lancarkan pada tahun ini juga. Kerana itu Ella sedikit sibuk dengan penghasilan album ini kerana Ella mahukan yang terbaik bagi album ini.

"Ella hanya memuatkan sebanyak lapan buah lagu kerana jika terlalu banyak, kelak orang tidak mahu mendengar. Jadi, biarlah ia menjadi cukup-cukup sahaja," jelas Ella yang mana albumnya akan diedarkan oleh Warner Music
 

Selain sibuk dengan penghasilan album, Ella juga di dalam perancangan untuk mengeluarkan jenama jeans sendiri. Ini kerana, ceritanya, setiap kali membuat penampilan di mana-mana persembahan dan negara, pasti peminat akan mendekatinya untuk bertanyakan mengenai jeans yang dipakainya.

"Peminat selalu tanya Ella, dari mana beli jeans, jenama apa, model apa, dan soalan-soalan yang terperinci. Jadi, setelah difikirkan, baik Ella mereka jeans sendiri dan menjualnya kepada peminat.

"Saya memang peminat jeans, jadi tidak salah jika saya berkongsi minat saya itu bersama peminat," tutur Ella yang juga mengatakan jeans itu akan dikeluarkan di dalam pelbagai saiz bagi lelaki dan wanita.

Jelasnya, mungkin jika tiada halangan, jenama jeans itu akan dilancarkan pada tahun hadapan selepas selesai dengan pelancaran album baharunya.

Menyelit persoalan yang sering ditanya pihak media mahupun peminat, bilakah Ella ingin mendirikan rumah tangga, jawab Ella diselangi ketawa besar dengan gelagat manjanya, Ella menjelaskan jika benar dirinya sudah berpunya dan ingin menamatkan zaman solonya, dia tidak akan menyembunyikan perkara tersebut.

Jelasnya juga, dia juga tidak akan teragak-agak untuk berbicara mengenai hal tersebut dan akan mengumumkan berita gembira itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...