Cari Blog Ini

Isnin, 3 Oktober 2011

Norman jawab kontroversi AIM


KONTROVERSI penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) mula melanda industri muzik tempatan walaupun majlis penganugerahan tersebut belum lagi dilaksanakan.

Bakal berlangsung pada 12 November hadapan, isu kewarganegaraan menjadi persoalan utama yang dipertikaikan banyak pihak sekali gus mempersoalkan ketelusan sistem penjurian AIM18.

Lantas, selaku Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abd. Halim ketika ditemui pada majlis rumah terbuka persatuan itu baru-baru ini menegaskan, isu tersebut bukanlah perkara baru.

Malah, peraturan mengenai kewarganegaraan para pengkarya itu telah digubal dan diguna pakai sejak tiga tahun lalu.

"Seperti yang sedia maklum, objektif penganjuran AIM adalah untuk mengiktiraf karya-karya anak tempatan.

"Jadi, pengkarya yang berstatus sebagai warganegara Malaysia diberi keutamaan selain pengkarya warga asing yang bermastautin di sini tetap diberi peluang untuk bertanding," katanya.

Justeru, apabila pencalonan kumpulan 6ixth Sense dan Hujan yang dianggotai oleh warga Indonesia, Norman menjelaskan, mereka sebenarnya layak untuk bertanding, cuma pencalonan kedua-dua kumpulan itu tidak tersenarai ke peringkat Top 5.

Di samping itu, kepada para artis yang sering merakamkan album di luar negara, Norman memberitahu, mereka masih layak untuk bertanding tetapi berdasarkan kategori yang bersesuaian.

"Sudah pasti, kategori pembikinan album tidak layak untuk disertai. Mungkin dari aspek vokal, mereka boleh menghantar borang pencalonan," tambahnya.

Menjawab isu pencalonan Anita Sarawak, Norman berkata, walaupun penyanyi versatil itu warga Singapura, kelayakan Anita dalam AIM18 adalah disebabkan syarikat rakaman naungannya adalah milik anak tempatan.

"Itulah sebabnya Anita tersenarai dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita).

"Dia bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia yang berdaftar di bawah RIM," beritahu Norman merungkai setiap permasalahan yang timbul.

Sementara itu, bagi memeriahkan lagi penganjuran AIM pada masa akan datang, Norman berjanji akan melonggarkan sedikit syarat pencalonan sekiranya ada warga asing yang terbabit dalam pembikinan album artis tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...